Sejarah PSS

 

Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Jenderis atau akronimnya QJeSS (Kuala Jenderis Secondary School) diberikan nama bersempena dengan pokok jenderis yang tumbuh meliar di sekitar kawasan kampung Kuala Jenderis. Sekolah ini telah dibina pada tahun 2002 dalam Rancangan Malaysia Ke-8 dengan peruntukan sebanyak RM16.8 juta. Dengan keluasan tanah seluas 20 ekar, sekolah ini mempunyai satu blok bangunan pentadbiran, tiga blok bilik darjah di samping satu blok makmal sains dan bilik – bilik khas. Satu blok bengkel, satu blok kantin, sebuah bengkel MPV (menservis motosikal), sebuah surau dan sebuah dewan besar dengan kapasiti maksimumnya seramai 1500 orang murid.

 

SMK Kuala Jenderis terletak kira – kira 25 km dari bandar Kuala Berang, iaitu di pertengahan jalan ke Jeti Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir, justeru sekolah ini juga dikenali dengan gelaran “Sekolah di Bawah Tasik..”. Sekolah ini mula beroperasi pada 1 Jun 2005 dengan pembukaan 6 kelas, murid seramai 96 orang dan guru seramai 11 orang termasuk pengetua serta seorang kakitangan sokongan. Seiring dengan pembukaan sekolah ini, Pusat Sumber Sekolah ini juga turut beroperasi seawal minggu pertama persekolahan. Pusat Sumber Sekolah ini telah ditempatkan di tingkat tiga bangunan blok pentadbiran sebagai lokasi yang paling strategik kepada semua warga sekolah. Pada awal penubuhannya, Pusat Sumber Sekolah hanya memiliki 200 buah buku sahaja, dan kemudiannya jumlah ini semakin bertambah seiring dengan peredaran masa. Pusat Sumber Sekolah ini turut menerima sumbangan buku – buku daripada pihak – pihak tertentu sama ada daripada  badan – badan korporat mahupun orang perseorangan yang mahu melihat Pusat Sumber ini terus menjadi wadah utama penyebaran ilmu kepada anak – anak didik di sekolah ini.

 

No comments:

Post a Comment